Kem Latihan Pusat skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) telah pun bermula semalam sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022.

Namun begitu, daripada 31 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Brad Maloney, hanya 5 orang sahaja melapor diri pada hari pertama sesi latihan. Pemain tersebut ialah Sikh Izhan, Fahmi Daniel, Faiz Amer, Shafi Azswad dan Haqimi Azim.

Kekurangan pemain ini mencetuskan rasa sedikit kebimbangan pada Maloney tetapi beliau yakin baki 26 pemain akan menyertai kem latihan pusat minggu hadapan secara berperingkat selepas selesai tugasan bersama kelab masing-masing.

“Terdapat kemungkinan (kelab tidak melepaskan mereka). Pada masa ini, kami sedang berbincang dengan kelab, jadi saya percaya pemain akan melaporkan diri tetapi ia berkaitan bila mereka akan laporkan diri,” katanya dipetik dalam bernama. 

Turut tersenarai, pemain kelab Jepun, Azul Claro iaitu Hadi Fayyadh bersama seorang lagi pemain luar negara, Luqman Hakim  dari kelab KV Kortrijk. Kedua-dua pemain ini akan pulang ke tanah air pada 25 dan 29 April.

Hadi dan Luqman sebelum ini pernah beraksi berganding dalam saingan Sukan SEA 2019 ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

“Saya tahu kebolehan Luqman dengan baik, saya telah bekerjasama dengannya banyak kali. Beliau satu aset bernilai untuk pasukan ini dan sentiasa bersedia bermain untuk negara.

“Hadi pula, kami tidak memanggil beliau selama setahun, beliau sedang pulih atau baru pulih daripada kecederaan, jadi telah pun mula bermain dan berlatih semula. Kini, kami berharap dapat melihat dan menilai tahap kecergasannya sebaik beliau tiba nanti,” jelas Maloney.

Mereka dijadual akan mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 bertemu Timor-Leste B-23 pada 29 April 2022 dan Filipina B-23 pada 1 Mei 2022, dengan kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton berdasarkan persetujuan daripada pasukan-pasukan yang terlibat.

Untuk saingan Sukan SEA kali ini, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos.

Maloney kemudian akan menamakan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2021 yang mana skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas dari KLIA, Sepang ke Hanoi, Vietnam pada 4 Mei 2022.

Mengikut peraturan penganjur, seramai 20 pemain sahaja boleh dibawa dan pemain tambahan hanya dibenarkan menyertai pasukan jika terdapat mana-mana pemain disahkan positif COVID-19 untuk menggantikan pemain tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil

10 Hari Dalam Kem Latihan Pertama, Kim Pan Gon Akui Gembira Dengan Prestasi Pemain

Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya